Pengikut

Wednesday, February 12, 2014

Hikayat malam


Titis-titis pilu,
 turun bak hujan,
membasahi hangat malam.
jiwa retak
dalam lengkung senyum
siapa tahu?

Renungan sayu
jatuh pada kelibat tak berbayang,
berlegar di setiap sudut,
mengapa masih hidup
catitan pada lembaran sejarah?
bukankah tinggal dan mati
telah disumpah?

Aku pejamkan mata,
dan tinggalkan rasa
yang masih menari,
nanti dalam lambaian sadiq,
aku himpunkan segalanya
dalam sujud .

Monday, February 3, 2014

.



Dalam pekat malam
aku berdiri sepi,
Di sini, di tasik ini,
telah terkubur kenangan
yang tak dapat terulang,
garis-garis pilu
membuka sebuah hikayat air mata,
terhapus semua impian,
rapuh semua harapan,
kemana lagi harus ku mencari?
tersisakah rasa untukku?
siapkah kalbu untuk kembali parah?

Aku tinggalkan sejenak kekusutan hati,
namun perasaan
kian menelan kejantanan,
pabila tersedar dari lamunan,
kau telah pun berlalu pergi
tinggalkan cita dan cinta

Kini rindu merusuh,
serasa jiwaku kian lenyap,
terbawa oleh mahabbah yang bukan lestari.

Jeritan bisu



Bersumpah dengan lidah munafik,
berselindung di balik tirai sufi,
sudahkah ada yang celik?
ataukah masih terbuai;
dengan sulaman cereka
yang konon hidup dibelai rahmat
walhal hanyut dilambung istidraj?

Bangunlah,
dengarlah suara sayup
melaung hajat;
mata-mata yang tuli
telinga-telinga yang buta
jiwa-jiwa yang lena
disembuh hidayah

Sedarlah,
sebelum suara-suara gagah
yang mengetuk benak
mangusir kebatilan
menjadi jeritan bisu

Kusuma


Kusuma,
dinihari ini
aku berdebat dengan hati,
dalam riak keliru,
gusar riuh bertepuk tangan,
dan pada ribut debu yang menghijab,
tak terpetik ilham,
tertiup secebis pada minda,
lalu dialunkan menyentak parut,
rupa-rupanya
aku dan semangatku 
teramat parah.

Kusuma,
anak panah yg kau lambungkan,
tuju tepat ke dadaku,
lalu kau talunkan;
manis hikayat,
sentuhan listrik.

Kusuma,
cuma ada kerikil dan debu
di dalam sepatu lusuh,
tak tercungkil
tak juga terusir,
aku tewas
dalam perjuangan menafikan
kenisbian hati dan harta.






Sunday, February 2, 2014

Sumbang



Lama aku jejaki,
nyanyian sumbang
dengan duka yang sarat,
kemana jatuhnya suara pilu?
Dimana dangau
tempat kau rakam
pertemuan;
terang dan kelam
degup dan nadi
guntur dan guruh?

Telah ku rangkumkan sumpah
pada setiap keringat dan darah,
mengalir dan memancur,
takkan lagi duri dan ranjau
menjadi punca gugur tangis.
pada riak tulus.

Hayat terpahat,
pada belati dan panah,
mencarik dan pergi,
Sesudah kering darah
tak ku kenal lagi sakit dan kecewa
dalam ribut senja.

Telah ku mengerti
sakit ditikam
saat dikaburi cereka pelangi,
namun pedih pedoman,
membuka mata seluas semesta.
.




Saturday, February 1, 2014

Elegi



Benarkan aku berkata
sejujur suara,
di dalam makam rasa
tertanya;
kemana perginya rama-rama
yang riang menari
di atas bebunga merah
pada lapangan hijau ini?

Hilangkah kenari,
yang menghantar khabar indah
dalam bunga bahasa
semerdu suara?

Degupan sepi
yang dulunya senada
dengan sayapnya,
merindukan suara tulus;
yang mengeringkan darah jernih,
yang menenangkan gempita.

Tak ada lagi taman,
tak ada lagi rimbunan redup,
tak ada lagi kicauan beburung,
yang tinggal hanya kuburan.





Monday, January 27, 2014

Kasut dan baju


Memoir kasut dan baju,
masih berdenyut;
di dalam ruang rindu,
tak tahu untuk lenyap,
manis tetapi perit.

Ketika qalbu masih bersatu,
benang merah ini dijanjikan;
permata yang lestari sinarnya,
tiupan semilir tenang dari ufuk ke ufuk.

Namun semakin jauh masa berjalan,
semakin malap api di dada,
sedekad engkau menjadi dewi,
gemerlap rasa ini bukan payung,
keringat dan tindak,
 kau fatwakan palsu.

Memoir kasut dan baju,
hidup dan terus hidup,
bukan sebagai parut,
tetapi sebagai kitab.



...


Jangan dikurung;
hasrat untuk mendaki,
keghairahan untuk mencari,
Usah dihirau momokan;
gagak yang memikul kitab,
dengan perca lusuh melilit kepala.

Teruskan,
gemakan yang lima,
di dalam karung rasa sendiri,
di dalam benak-benak yg bisu;
dari denyutan muslim.
namun jangan;
yang fitrahya untuk memimpin,
kau tukangkan menjadi belenggu.






Sunday, October 16, 2011

Sang Penyeru

Kita yang dicatat setiap ucapan,
Kita yang redha dengan kerugian dan kebinasaan,
Dimana letaknya takut?
Di mana letaknya rendah?

Saat diseru kearah kebaikan,
tidak kita sahut,
Malah diberatkan lagi amal di kiri,
Sedang hari kematian,
Bukan sejarak usia bumi,
Mungkin hari ini, mungkin esok, siapa yang tahu?

Bila tiba saat meninggalkan hidup,
Meninggalkan tilam empuk,
Meninggalkan harta kekayaan,
Meninggalkan kekasih,
Yang ada hanya tanah dan cacing,
Dan ketika itu,
Kita datang dengan membawa dosa segunung,
Datang menghadap Maha Menghisab,
Saat itu barulah terasa celakanya usia yang disia2kan,

Renungkanlah,
Sebelum sang penyeru datang menyeru dari jarak yang dekat,
Apakah terbuka hatimu pada nasihat?
Apakah terpupuk cintamu pada Rabb?
Apakah terdetik takutmu pada siksa-Nya?

Ingatlah wahai yang dihitung setiap amal,
Ketika sang penyeru datang menyeru,
Saat itu tiada guna segala kekuatan,
Tiada gunanya lagi penyesalan,
Tidak ada satu pun kuasa didunia mampu menahan,
Kerana janji dari sang penyeru,
Adalah perintah sang Pemilik,
Janji-Nya tiada dusta,
Tidak dilengahkan walau sesaat pun. 

Saturday, October 8, 2011

Apa dikira ekar sekangkang,
Jika dacing-Nya menimbang amal?
Apa dihina tebing yang rapuh,
Jika aurnya tidak seteguh?

Apa dicinta emas segunung,
Sedang di bahu tergantung aib?
Apa dikasih keladak noda,
Sedang nyata hamis udaranya?

Biar dilempar ke hujung dunia,
Biar digasak peluru propaganda,
Jangan diizin runtuhnya iman,
Hanya kerana nikmat yang sedetik

Biar hidup bertopangkan pasrah,
Dari hidup berpayung serakah,
Biar penat mengejar rahmat,
Dari penat menahan azab

APA DITURUT TELUNJUK NAFSU.
SEDANG TERBENTANG JALAN NAN SATU?

Monday, October 3, 2011

Sastera Tuhan

Mata yang dua,
adakalanya terpejam bukan hanya pada zahir,
pejam tak kira usia,
butan tak kira iman,
pejam kerana leka,
buta kerana sombong.

Tiada terbaca ,
seninya sastera Tuhan,
bahasa halus dan indah,
tak pernah sia2.
setiap kejadian dan peristiwa,
terisi teladan

Pada kesukaran menujah,
terselit cerita tentang syukur.
ketika dihujani makian,
turun bersamanya kisah sabar,
saat siang berganti malam,
dilagukan tentang alam yang tak pernah kekal.

Apakah terbaca ,
uniknya bahasa tuhan?
betapa bijaksananya Dia,
menyelitkan sasteranya pada setiap peristiwa,
apakah terbaca?

Sunday, October 2, 2011

Di hujung pena

Aku berlari dan bertanya,
Suara ku, dimanakah suara ku?
Suara yang sepatutnya menjadi penyudah,
Pada hasrat dan niat yang tidak terzahir?

Gugup dan gementar,
Melontar seluruh keyakinan,
Lantas bagaimana nak ku khabarkan bicara hati?

Akhirnya,
Hanya di meja aku berani bersuara,
Di atas kertas aku handal berbicara,
Suara yang melaung2 di dasar hati,
Hanya mampu kuzahirkan,
Di hujung pena.

Wednesday, May 4, 2011

Tak Seindah Wajah

Tan Sri SM.Salim-Tak Seindah Wajah

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakunan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

Lagu ni mesej dia dalam gila.. cuba-cubalah hayati.. :)
http://www.youtube.com/watch?v=fCL_t-RzYBY

Tuesday, February 15, 2011

Sang Penguasa Hati

Terkunci kepetahan,
Di saat terkibasnya sayap sang penguasa hati,
Segala keringat yang mengalir,
Dalam mencari kelestarian,
Menjadi butiran permata nilam,
Lantas memenuhi tujuan kembara,
Mencari sesuatu yang cukup asing,
Demi memadamkan kepahitan silam...

Sang penguasa hati,
Telah lama ku cari,
Pelengkap kepada kekurangan diri,
Sang penguasa hati,
Telah kutemui,
Pemilik keajaiban yang sebenar...

Walau hidup bisa menjadi tak seindah angan,
Sesal takkan pernah menghantui,
Tetap kau  sang penguasa hati,
Ku pilih mejadi peneman dalam kembara baru,
Mencari Syurga untuk mu...