Pengikut

Sunday, October 16, 2011

Sang Penyeru

Kita yang dicatat setiap ucapan,
Kita yang redha dengan kerugian dan kebinasaan,
Dimana letaknya takut?
Di mana letaknya rendah?

Saat diseru kearah kebaikan,
tidak kita sahut,
Malah diberatkan lagi amal di kiri,
Sedang hari kematian,
Bukan sejarak usia bumi,
Mungkin hari ini, mungkin esok, siapa yang tahu?

Bila tiba saat meninggalkan hidup,
Meninggalkan tilam empuk,
Meninggalkan harta kekayaan,
Meninggalkan kekasih,
Yang ada hanya tanah dan cacing,
Dan ketika itu,
Kita datang dengan membawa dosa segunung,
Datang menghadap Maha Menghisab,
Saat itu barulah terasa celakanya usia yang disia2kan,

Renungkanlah,
Sebelum sang penyeru datang menyeru dari jarak yang dekat,
Apakah terbuka hatimu pada nasihat?
Apakah terpupuk cintamu pada Rabb?
Apakah terdetik takutmu pada siksa-Nya?

Ingatlah wahai yang dihitung setiap amal,
Ketika sang penyeru datang menyeru,
Saat itu tiada guna segala kekuatan,
Tiada gunanya lagi penyesalan,
Tidak ada satu pun kuasa didunia mampu menahan,
Kerana janji dari sang penyeru,
Adalah perintah sang Pemilik,
Janji-Nya tiada dusta,
Tidak dilengahkan walau sesaat pun. 

Saturday, October 8, 2011

Apa dikira ekar sekangkang,
Jika dacing-Nya menimbang amal?
Apa dihina tebing yang rapuh,
Jika aurnya tidak seteguh?

Apa dicinta emas segunung,
Sedang di bahu tergantung aib?
Apa dikasih keladak noda,
Sedang nyata hamis udaranya?

Biar dilempar ke hujung dunia,
Biar digasak peluru propaganda,
Jangan diizin runtuhnya iman,
Hanya kerana nikmat yang sedetik

Biar hidup bertopangkan pasrah,
Dari hidup berpayung serakah,
Biar penat mengejar rahmat,
Dari penat menahan azab

APA DITURUT TELUNJUK NAFSU.
SEDANG TERBENTANG JALAN NAN SATU?

Monday, October 3, 2011

Sastera Tuhan

Mata yang dua,
adakalanya terpejam bukan hanya pada zahir,
pejam tak kira usia,
butan tak kira iman,
pejam kerana leka,
buta kerana sombong.

Tiada terbaca ,
seninya sastera Tuhan,
bahasa halus dan indah,
tak pernah sia2.
setiap kejadian dan peristiwa,
terisi teladan

Pada kesukaran menujah,
terselit cerita tentang syukur.
ketika dihujani makian,
turun bersamanya kisah sabar,
saat siang berganti malam,
dilagukan tentang alam yang tak pernah kekal.

Apakah terbaca ,
uniknya bahasa tuhan?
betapa bijaksananya Dia,
menyelitkan sasteranya pada setiap peristiwa,
apakah terbaca?

Sunday, October 2, 2011

Di hujung pena

Aku berlari dan bertanya,
Suara ku, dimanakah suara ku?
Suara yang sepatutnya menjadi penyudah,
Pada hasrat dan niat yang tidak terzahir?

Gugup dan gementar,
Melontar seluruh keyakinan,
Lantas bagaimana nak ku khabarkan bicara hati?

Akhirnya,
Hanya di meja aku berani bersuara,
Di atas kertas aku handal berbicara,
Suara yang melaung2 di dasar hati,
Hanya mampu kuzahirkan,
Di hujung pena.

Wednesday, May 4, 2011

Tak Seindah Wajah

Tan Sri SM.Salim-Tak Seindah Wajah

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakunan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

Lagu ni mesej dia dalam gila.. cuba-cubalah hayati.. :)
http://www.youtube.com/watch?v=fCL_t-RzYBY

Tuesday, February 15, 2011

Sang Penguasa Hati

Terkunci kepetahan,
Di saat terkibasnya sayap sang penguasa hati,
Segala keringat yang mengalir,
Dalam mencari kelestarian,
Menjadi butiran permata nilam,
Lantas memenuhi tujuan kembara,
Mencari sesuatu yang cukup asing,
Demi memadamkan kepahitan silam...

Sang penguasa hati,
Telah lama ku cari,
Pelengkap kepada kekurangan diri,
Sang penguasa hati,
Telah kutemui,
Pemilik keajaiban yang sebenar...

Walau hidup bisa menjadi tak seindah angan,
Sesal takkan pernah menghantui,
Tetap kau  sang penguasa hati,
Ku pilih mejadi peneman dalam kembara baru,
Mencari Syurga untuk mu...